Make your own free website on Tripod.com
Pentadbiran dari sudut Wawasan Akhirat

Dipandang dari sudut mana sekalipun, pentadbiran Islam adalah lebih unggul, lebih tepat dan lebih sesuai untuk semua manusia.  Ini kerana apabila kita menjalankan pentadbiran Islam bererti kita menyambung kerja-kerja yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. dalam melaksanakan segala kehendak Allah SWT. yang menamakan diri-Nya ar-Rahmanir Rahim ilahi minal qaiyum berdasarkan sebanyak mana ayat Qur'an yang diturunkan kepada baginda.  Sebabnya, di dalam Qur'an yang mengandungi 30 juzuk itu terdapat pelbagai macam perkara meliputi hal ekonomi, sosial, kebudayaan, perniagaan, undang-undang dan hukum dan lain-lain perkara yang dibuat oleh Tuhan untuk manusia, hambanya sendiri, yang hidup di atas muka bumi ini.

Sebagai orang Islam kita harus berpandangan jauh, bukan setakat 2020, malah lebih daripada itu.  Kita mesti fikirkan hingga sampai ke akhirat kerana perkara akhirat itu sama ada kita bersetuju atau tidak, ia tetap ada dan setiap manusia mesti sampai ke sana kerana mereka tetap dihidupkan semula selegas mati kelak.  Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Tuhan di dalam al-Qur'an

Maksudnya:

"Dan ditiupkan sangkakala, tiba-tiba kelibatan mereka bangkit dari kubur dan segera datang kepada Tuhan.  Mereka masing-masing tanya-menanya dan berkata: 'Alangkah malangnya nasib kami!  Siapakah yang membangkitkan kami daripada tidur?' Ketika itu kedengaran suara: 'Inilah yang dijanjikan oleh Tuhan yang Pengasih dan benarlah perkataan para rasul.'
Tiada lain yang kedengaran masa itu melainkan satu suara keras, dan ketika itu nampaklah mereka semuanya di bawa ke hadapan Kami (Allah).  Maka pada hari itu tiada seorang pun yang teraniaya dan kamu tiada diberi pembalasan melainkan setimpal dengan apa yang kamu telah kerjakan."
(Surah Yasin, ayat 51-54)
Dengan demikian, kita yakin seratus peratus bahawa hari akhirat tetap ada dan segala urusan kerja yang kita lakukan semasa hidup di atas dunia ini akan ditentukan keputusannya di akhirat sama ada menerima ganjaran syurga atau pembalasan neraka.

Dan oleh kerana hari akhirat itu merupakan satu daripada enam rukun iman yang kita mesti percaya dan yakin sebagaimana kita yakin kepada Allah, rasul-rasul, para malaikat, kitab-kitab Allah dan qada'-qadar, maka setiap urusan pentadbiran yang hendak kita jalankan di dunia ini mesti bermatlamatkan akhirat.  Tidak kira sama ada kita hendak mengendalikan sebuah rumah tangga, sebuah masyarakat, sebuah negeri atau negara kita mesti ikut apa yang diajar dan dibuat oleh Nabi Muhammad SAW, kerana setiap yang diajar dan dilakukan oleh baginda Rasulullah itu adalah benar kesemuanya.  Sebabnya Nabi menerima arahan terus daripada Tuhan sebagaimana yang disebut Addabani Rabbi'.

Dengan sebab itu segala apa yang disuruh dan dilarang oleh Nabi Muhammad, manusia tidak harus ingkar kerana Nabi kita sendiri melaksanakan perintah Tuhan yang dipertanggungjawabkan kepada baginda.  Ini selaras dengan firman Tuhan:
 

'Maha Suci (Tuhan) yang di atas tangan-Nya terletak kekuasaan semua milik, dan kepada-Nya kamu dikembalikan..'
(Surah Yasin, ayat 83).
Ertinya, apabila Tuhan berkata begitu, tidak ada manusia yang boleh mengubah atau membatalkan ketetapan itu.