Pentadbiran Islam bersendikan kuasa yang benar

Jika ditinjau dari sudut sejarah, kita dapati banyak negara yang besar di dunia seperti Mesir, Mekah dan sebagainya telah pun mempunyai kerajaan yang tidak kurang hebatnya pada zaman itu.  Di Mesir, umpamanya, ketika Firaun memerintah, keadaan manusia di negara itu sudah pun maju dari segi ketamadunan termasuk sains dan teknologinya yang tinggi.  Begitu juga dengan kerajaan Abu Jahal di Mekah telah juga maju dan luas pengaruhnya hingga ke negara-negara lain.  Tetapi mengapa Allah kirimkan juga Nabi Musa a.s. ke Mesir dan Nabi Muhammad SAW ke Mekah padahal kedua-dua negara itu telah pun mempunyai dasar pemerintahan masing-masing? Jawabnya, oleh kerana Tuhan itu lebih bijak daripada segala manusia yang Dia jadikan, maka tindakan mcnghantar Nabi Musa kc Mesir dan Nabi Muhammad ke Mekah itu ada mengandungi hikmat tersembunyi yang kadang-kadang sukar dimengerti oleh manusia.  Bagaimanapun, secara mudah difahami, Tuhan mengirim kedua-dua orang Nabi di dua buah negara pada tempat dan masa yang berasingan itu ialah bertujuan untuk memperbetulkan keadaan.

Pentadbiran Firaun di Mesir sudah melencong jauh dari landasan kebenaran sehingga dia (Firaun) sendiri sanggup mengaku dirinya Tuhan dan ekoran daripada itu sudah tentu bentuk pentadbirannya juga lari jauh daripada fitrah kemanusiaan.  Ertinya, apabila manusia itu merasa dirinya terlalu besar dan terlalu berkuasa, dia tanpa segan silu mengaku dirinya itulah tuhan dan bentuk pentadbiran terhadap rakyat pula dilakukan berdasarkan nafsu semata-mata sehingga fitrah asal yang ada di dalam dirinya pada peringkat awal dulu sudah tidak ada lagi kerana dikalahkdn oleh nafsu yang bermaharajalela.

Untuk memperbetulkan kesilapan manusia itulah Tuhan kirimkan Nabi Musa ke Mesir dengan harapan menghidupkan semula fitrah di dalam diri Firaun itu supaya mengakui dia juga hamba Tuhan seperti manusia yang lain.  Bagaimanapun, disebabkan keangkuhannya, Firaun tidak patuh kepada tunjuk ajar Nabi Musa.  Hanya setelah berada pada saat air laut memenuhi mulutnya ketika dia bersama-sama tenteranya tenggelam di Laut Merah, barulah dia cuba bertaubat tetapi keadaan sudah terlambat.

Demikian juga dengan Nabi Muhammad SAW yang dikirim oleh Tuhan ke Mekah untuk memperbetulkan keadaan pemerintahan Abu Jahal.  Ketika itu boleh dikatakan berlaku banyak penyelewengan, kezaliman dan penindasan sesama manusia.  Untuk mengubah keadaan yang berlaku di luar batasan kcmasyarakatan itu memang sukar bagi Nabi Muhammad hendak melaksanakannya, pada peringkat permulaan semasa di Mekah, kerana ramai juga orang Islam dan pengikut setia Nabi telah dikhianati oleh orang musyrikin.

Oleh kerana kuatnya tekanan daripada pengikut Abu Jabal, Nabi Muhammad sebagai seorang yang bijak yang diberi petunjuk melalui wahyu yang telah diturunkan   Tuhan (dengan perantaraan Malaikat Jibrail) membuat keputusan berhijrah ke Madinah sebab Rasulullah SAW tahu kalau baginda tetap bertahan di Mekah, baginda hanya dapat sekadar melakukan ibadat sembahyang, puasa, haji, zakat dan lain-lain amalan serupa itu sahaja manakala untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran tidak dibolehkan langsung kerana hal pentadbiran negeri pada ketika itu seratus peratus dipegang oleh Abu Jahal yang kekuasaannya itu boleh diibaratkan pada masa ini sebagai Menteri Besar atau Perdana Menteri zaman sekarang.

Nabi Muhammad SAW. sedar bahawa setakat mengerjakan bahagian ibadat sahaja, Islam menjadi tidak lengkap sebab perkara pokok untuk memperbetulkan soal-soal penyelewengan dan kemungkaran, kuasa pemerintahan negeri adalah penting. Oleh Yang demikian Nabi Muhammad, walaupun dalam keadaan yang penuh penderitaan, sanggup berpindah ke Madinah dengan tujuan hendak mengembang dan menegakkan syariat Islam.  Perbuatannya itu ternyata berkesan kerana apabila Nabi memegang kuasa di Madinah, baginda dapat membentuk sebuah negara Islam dengan pentadbirannya selaras dengan kehendak Allah.  Juga, baginda mengatur strategi untuk bertindak balas ke atas orang musyrikin Mekah yang datang mengkhianati orang Islam di Madinah.

Daripada peristiwa itu kita dapat mengambil contoh bahawa dengan kerjasama rakyat mahukan PAS bersama-sama rakan dalam Angkatan Perpaduan Ummah berkuasa di Kelantan, banyak pentadbiran yang bercorak Islam dapat kita laksanakan berdasarkan mana-mana peruntukan yang ada dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Sebagai contoh, sejak PAS berkuasa, pekerja wanita sama ada di pejabat kerajaan atau swasta, kita arahkan supaya menutup aurat.  Memang pada peringkat awal mereka yang terlibat agak tergamam sedikit tetapi setelah mereka faham, insaf dan terbiasa dalam amalan, mereka tidak lagi merasa kekok bahkan lebih senang kerana perbuatan itu selain daripada beroleh pahala dapat pula menjadikan mereka kelihatan lebih kemas dan bermoral. Cuma, apa yang menjadi masalah sekarang ialah perlaksanaan hudud.  Walaupun draf atau undang-undang hudud itu telah dibuat dan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan, pihak Kerajaan Pusat telah menolak dengan alasan hudud ini hudud PAS dan ia tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana bermasyarakat majmuk padahal sebelum dibahas dan diluluskan olch Dewan Undangan Negeri, draf hudud itu telah dirujuk kepada pakar undang-undang Islam dan telah diluluskan olch Mufti Kerajaan Kelantan serta dikemukakan juga dalam forum terbuka di merata-rata negeri.

Ayat yang menjadi asas hukum hudud itu pula bukan baru diturunkan kepada kita sekarang tetapi lebih 1,400 tahun dulu dan Nabi Muhammad SAW. telah melaksanakan hukum hudud itu.  Kita mahu melaksanakan hudud kerana ia adalah satu daripada undang-undang Tuhan yang dibuat khas untuk menjaga keamanan manusia di atas dunia ini.  Hudud itu sendiri dibuat oleh Tuhan dengan tujuan menjaga lima perkara iaitu menjaga agama, menjaga harta, menjaga keturunan, menjaga maruah atau air muka dan menjaga akal fikiran, yang semua ini dikenali sebagai 'program langit' untuk hamba-Nya di bumi.

Oleh kerana hudud itu Tuhan buat untuk menjamin keamanan dan ketenteraman hidup manusia maka sepatutnya tidak ada orang Islam yang menolaknya kerana setiap undang-undang yang dibuat oleh Tuhan itu bukan untuk mendatangkan kesusahan, tetapi bagi memberi kebaikan kepada kita semua, maka sudah sepatutnya kita menerima dengan hati yang penuh rela.  Dari segi agama kalau hukum mengucap dua kalimah syahadat, sembahyang lima waktu, puasa dalam bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat fitrah dan mengerjakan haji itu wajib bagi umat Islam, apa sebab hudud yang juga merupakan salah satu hukum Tuhan yang tercatat di dalam alQur'an dan telah dijalankan semasa pemerintahan Nabi Muhammad SAW tiba-tiba kita tolak?  Apakah hukumnya bagi orang yang menolak hudud sedangkan Tuhan membuat hudud itu untuk faedah manusia?  Tidakkah mana-mana orang yang menolak hukum Tuhan itu ingkar?  Dan apakah hukumnya terhadap orang yang ingkar kepada hukum Allah? jawapan bagi soalan-soalan ini boleh diputus sendiri oleh setiap hati nurani orang yang mengaku dirinya Islam?

Orang yang menolak hudud ini, mungkin atas sifat gerun, mendengar bahawa orang yang mencuri akan dipotong tangan.  Tetapi, adakah orang berkenaan tahu bahawa tujuan Tuhan membuat hudud itu untuk menghadkan atau membatasi perbuatan manusia daripada melakukan jenayah yang melibatkan lima perkara tadi?

Tuhan (membuat undang-undang hudud itu sebab Dia) tahu tabiat manusia yang seringkali didorongkan oleh sikap tamak haloba kerana mereka merasa tidak puas-puas untuk mendapat benda yang dia tidak ada tetapi ada pada orang lain.  Misalnya, jika seseorang itu melihat wang orang lain banyak maka timbul keinginan dia mahukan wang yang banyak juga, jika dia melihat orang lain pakai kereta mewah maka dia juga mahukan kereta serupa itu, maka bagi mendapatkan benda-benda itu dengan cara mudah mereka tidak teragak-agak akan melakukan jenayah mencuri, merompak, menyamun dan sebagainya.

Jadi, hudud ini merupakan had atau pagar untuk menyekat manusia daripada melakukan jenayah atau tegahan berat (dalam agama Islam) seperti merogol, berzina atau menjatuhkan maruah orang lain secara sewenang-wenang.  Memang undang-undang yang sedia ada sekarang di seluruh dunia pun dicadangkan untuk memagari manusia daripada melakukan jenayah tetapi ternyata tidak padan kerana paling tinggi hukuman bagi orang yang sabit kesalahan mencuri ialah penjara dalam tempoh tertentu.  Kalau manusia yang dihukum itu daripada jenis yang tidak tahu serik, apabila keluar penjara dia akan mencuri semula.  Sebaliknya, hudud yang mengenakan hukuman potong tangan ke atas mereka yang mecuri itu boleh menimbulkan juga perasaan gerun kepada orang lain dan ini merupakan satu asas dalam menjamin keamanan hidup manusia.

Tentang perlaksanaan hukum hudud ke atas seseorang yang dituduh pula, ini tidak dilakukan secara sewenang-wenang.  Bahkan setiap orang yang terlibat dengan tuduhan sama ada mencuri, menyamun, merogol, berzina dan sebagainya mestilah dia dibicarakan mengikut peraturan dan prosedur tertentu sekiranya dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut. Dalam perbicaraan itu pula, mesti ada saksi yang mana keperibadian saksi itu pula diambil kira oleh pihak yang mengendalikan pcrbicaraan.  Hanya setelah terdapat bukti yang jelas bahawa pihak yang dituduh itu sabit kesalahannya barulah hukuman ke atasnya dijalankan (mengikut apa yang ditetapkan oleh Allah SWT.).

Jadi, dalam masalah pentadbiran Islam di Kelantan setakat ini, nampaknya, insya' Allah, perkara-perkara yang ada dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri Kelantan dapat kita jalankan selaras dengan perjuangan kita yang berdasarkan Islam sebagai ad-din.  Bagaimanapun, perlaksanaan hudud - oleh kerana ia bersangkutan dengan Kerajaan Pusat dan Parlimen, dan baru-baru ini telah dinyatakan penolakannya secara terang-terang oleh pihak Pusat - nampaknya tergendala buat sementara waktu selagi orang yang menyekat masih diundi lagi dalam pilihanraya.