Kesimpulan

Pentadbiran Islam bukan boleh dilakukan sewenang-wenang dengan berdasarkan undang-undang yang dibuat oleh manusia berdasarkan keputusan majoriti di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen sahaja, tetapi mesti berlunaskan Qur'an dan Hadis.  Setiap undang-undang dan peraturan yang hendak dilaksanakan itu pula mesti mengambil kira untuk memberi manfaat kepada rakyat di dunia dan di akhirat kerana segala-galanya bukan tamat dan selesai di atas dunia ini sahaja tetapi berpanjangan hingga ke hadapan Munkar Nakir di dalam kubur dan seterusnya di hadapan Tuhan di Padang Mahsyar di akhirat kelak.

Dengan ini nampaklah Islam bukan hanya lengkap setakat menyempurnakan ibadat sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain sahaja malah pentadbiran negeri atau negara juga merupakan sebahagian daripada bab dalam Islam bagi membolehkan Islam seperti yang dikehendaki Allah dapat dilaksanakan.  Kalau tidak, apa perlunya Nabi SAW berhijrah ke Madinah al-Munawarah padahal untuk bersembahyang, berzikir, tawaf baitullah sudah pun boleh dibuat di Mekah sendiri.