Doktrin Pengasingan Kuasa Di Dalam Perlembagaan Malaysia

Jika diteliti Perlembagaan Persekutuan kita akan dapati bahawa Bab 3 ada memperuntukkan mengenai badan Eksekutif.

Perkara 39 berbunyi:

'Kuasa eksekutif bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang Dipertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa itu boleh dijalankon olehnya atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tapi Parlimen  boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintahan kepada orang-orang lain.'


Dari situ dapatlah kita secara kasar menjelaskan bahawa kuasa eksekutif kini boleh dijalankan oleh jemaah Menteri atau Menteri Kabinet yang dilantik.  Tapi pada setiap ketika mereka melaksanakan kuasa itu mereka melaksanakan atas nama 'Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong'.

Pada masa darurat, kuasa Eksekutif boleh dijalankan oleh orang tertentu yang diberi kuasa menurut Perlembagaan (Perkara 150).  Contohnya bila tercetusnya pertelingkahan kaum 13 Mei, kuasa eksekutif dijalankan oleh Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak yang menjadi Pengerusi MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) ketika itu.  Pada ketika inilah juga pemusatan kuasa berlaku yang mana badan Legislatif dan Kehakiman kehilangan kuasa dan ianya satu-satu masa yang mana Doktrin Pengasingan Kuasa diketepikan seketika.  Alhamdulillah nasib baik pemusatan kuasa ketika itu berada di tangan orang yang bijak yang akhirnya dapat menegakkan kembali Perlembagaan (Prof R.H. Hickling - Suatu Tinjauan Umum Mengenai Perubahan Perlembagaan Di Malaysia 1957 - 1977).

Mengenai fungsi pokok badan Eksekutif dapat dilihat beza kepentingan dari definisi yang diberikan dalam Walker's The Oxford Companion To Law (Page 449)

"Eksekutif adalah satu cabang pemerintahan sesuatu negara yang bertanggungjawab memastikan perlaksanaan polisi dan prinsip-prinsip dan keluhuran undang-undang dalam kes-kes bertentangan dengan badan legislatif yang fungsinya untuk membuat dan menentukan polisi dan mengubal undang-undang dan badan kehakiman yang fungsinya menyelesaikan pertelagahan mengenai makna dan pemakaian undang-undang itu.'
Apa itu badan perundangan atau legislatif dan kuasa-kuasanya ada dibincangkan dalam Bab 4 Perlembagaan Persekutuan.  Perkara 44 berbunyi:
'Kuasa Legislatif Persekutuan adalah terletak pada Parlimen yang mengandungi Yang Dipertuan Agong dan dua Majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.'
Jika dilihat peruntukan di atas mungkin secara teori boleh kita katakan antara dua dewan dan Yang Dipertuan Agong yang sifat anggotanya adalah berlainan orang adalah satu ciri yang menarik kerana ada pengasingan kuasa dan kawalan dalam meluluskan satu-satu undang-undang itu (Perkara 49 dan Perkara 66).  Tapi secara praktikal soal itu tidaklah benar jika dilihatkan peratusan/ratio anggota yang menyokong pemerintah dengan bilangan ahli pembangkang.  Ini dikuatkan lagi dengan adanya Perkara 66 Fasal 4B yang mana memperuntukkan bahawa sesuatu Rang Undang-Undang jika tidak diperkenankan oleh Yang dipertuan Agong dalam tempoh yang dinyatakan dalam Fasal (4) (a) atau (4A), maka Rang Undang-Undang itu secara automatik menjadi undang-undang selepas tempoh dinyata tamat.

Di Malaysia, tidak terdapat pengasingan kuasa secara ketat di antara cabang-cabang perundangan/legislatif dan Eksekutif.  Cuma badan kehakiman ada kebebasan dari campurtangan.  Kebebasan kehakiman tentang jawatan dan pendapatan adalah terjamin mengikut perlembagaan, walaupun pada dasarnya Hakim-hakim Mahkamah Tertinggi dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. jaminan ini ada diperuntukkan dalam Perkara 125 dan Perkara 127.

Hakim-hakim dibayar gaji tetap dari Kumpulan Wang yang dipersatukan dan mereka memegang jawatan sehingga umur enam puluh lima tahun dan boleh dilanjutkan selama enam bulan lagi
dengan izin Yang Dipertuan Agong. Hakim-hakim tidak memegang jawatan menurut telunjuk Yang Dipertuan Agong dan mereka hanya boleh dilucutkan jawatan kerana dua sebab:

a. Kelakuan tidak baik

b. Tidak berupaya melaksanakan tugas jawatan mereka sama ada atas sebab kelemahan tubuh atau otak atau apa-apa sebab lain.

Sebelum itu satu tribunal perlu dahulu dilantik oleh Yang dipertuan Agong - Perkara 125 Fasal (3) & (4).

Kelakuan mereka juga tidak boleh menjadi tajuk perbincangan dalam mana-mana Dewan Negeri dan hanya boleh dibincangkan oleh Majlis Parlimen dengan syarat suatu usul yang tersendiri dan notis mengenainya telah diberi oleh tidak kurang satu perempat(1/4) dari jumlah anggota Parlimen.

Satu lagi unsur penting kebebasan kehakiman ialah tentang kuasanya untuk mengistiharkan apa apa undang-undang yang dibuat oleh legislatif sebagai tidak sah dan batal, atau tindakan Eksekutif yang bercanggah dengan Perlembagaan - Perkara 4 Fasal (1).

Tindakan terhadap eksekutif/kerajaan boleh dilakukan dalam negara ini dan beberapa contoh di mana kerajaan telah didapati bersalah oleh mahkamah menjadi bukti tentang kebebasan pihak kehakiman.

Dalam Stephen Kalong Ningkan vs Tun Abang Haji Openg dan Tawi Sli (no.2 (1967) 2 M.M.j 46 Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan hanya melindungi Yang Dipertuan Agong dari didakwa dalam apa-apa juga perbicaraan dalam mana-mana mahkamah secara peribadi tetapi tak boleh ditafsir sebagai melindungi kerajaan persekutuan dari tindakan dalam mahkamah berkaitan dengan apa-apa jua yang dilakukan atas nama Yang Dipertuan Agong dan apabila Yang Dipertuan Agong bertindak atas nasihat kabinet persekutuan, tindakannya mestilah dianggap sebagai tindakan Kerajaan Persekutuan.

Dalam Stephen Kalong Ningkan vs Tun Abang Haji Openg dan Tawi Sli (1966) 2.M.L.J. 187, pula Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa pembuangan Dato Ningkan dari jawatannya sebagai Ketua Menteri Sarawak adalah ultra vires perlembagaan dan dengan demikian tidak sah dan batal.

Mahkamah dalam Kes Koh Yin Chye vs Leong Kee Nyean (1961) 2. M.L.J 67 telah mengistiharkan pemilihan seorang ahli dari parti Perikatan yang memerintah sebagai tidak sah apabila didapati calon itu bersalah atas amalan curang pilihanraya.

Dalam Kes Fan Yew Teng vs Setiausaha Dewan Rakyat & Lain-lain (1975) 2. M.L.J 41, Plaintif, seorang anggota parlimen telah didapati bersalah di Mahkamah Tinggi kerana satu kesalahan di bawah Akta Hasutan dan telah didenda sebanyak $2000/- atau enam bulan penjara.  Sebelum kes rayuannya selesai, beliau telah dimaklumkan oleh defendan pertama bahawa beliau telah hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen menurut Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan dan kerusi parlimennya menjadi kosong mengikut peruntukan Perkara 51.  Seterusnya Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya telah mengarahkan mengambil tindakan bagi satu pilihanraya kecil menurut Peraturan Pilihanraya 1959.

Isu utama kes ini adalah sama ada keputusan mahkamah yang mendapati plaintif bersalah dan hukuman yang ditentukan itu menjadikan kerusi Parlimen plaintif secara automatik dikosong dari Dewan Rakyat menurut Perkara 53 Perlembagaan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa kerusi Parlimen plaintif tidak dikosongkan secara automatik hanya kerana si plaintif telah didapati salah dan dihukum oleh mahkamah.

Jelas sekali dari kes-kes yang dibentangkan di atas, mahkamah adalah bebas dari sebarang campurtangan pihak eksekutif mahupun legislatif dalam membuat keputusan perbicaraan mahkamah.  Namun begitu tidaklah semestinya setiap kali keputusan mahkamah mesti berpihak kepada bukan eksekutif atau bukan legislatif baru dikatakan pihak kehakiman bebas.  Ada juga ketikanya keputusan itu berpihak kepada eksekutif atau legislatif tapi tidaklah bermakna mahkamah tidak bebas dan tidak adil dalam membuat keputusannya - (lihat kes 1. Karam Singh vs Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Malaysia (1969) 2. M.L.J. 129; 2. Thambipillai vs Kerajaan Malaysia (1969) 2. M.L.J. 206)

Di Malaysia, boleh dikatakan semua anggota Eksekutif yakni kabinet adalah juga anggota Legislatif sama ada ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.  Jelas tiada pengasingan kuasa di sini.  Pihak yang membuat undang-undang dan pihak yang melaksanakan adalah golongan yang sama.  Dari sudut ini mudah bagi pemerintah yang menguasai badan legislatif untuk mengubal undang-undang yang ada kalanya memberi kepentingan peribadi mahupun kolektif kepada Eksekutif lebih lagi bila mempunyai sokongan lebih dari dua pertiga (2/3) ahli di kedua-dua Dewan.  Misalnya kes Rang Undang-undang kenaikan gaji Perdana Menteri yang peningkatannya ada dipersoalkan oleh sesetengah golongan sedikit masa lalu.

Jika diteliti fungsi Yang dipertuan Agong (seperti di Lampiran A) ada mengatakan tidak berlaku pengasingan kuasa.  Namun ianya bukanlah tanpa kawalan dan imbangan.  Kawalan dan imbangan berlaku dengan dua cara utama:-

1. Melalui pembahagian kuasa besar kepada kuasa kecil; dari satu pemusatan kepada beberapa Menteri, Pegawai-pegawai, Department-department dan agensi-agensi di bawah kuasa Yang dipertuan Agong.

2.    Melalui dua-proses mahkamah.

Selain itu kawalan dan imbangan juga berlaku melalui konsep Fedelism.  Ini adalah benar jika dikaji perkara-perkara dalam jadual Ke Sembilan Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara-perkara dalam kuasa Kerajaan Persekutuan, perkara-perkara dalam Kuasa Kerajaan Negeri dan perkara-perkara 'Senarai Bersama' yang kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ada kuasa mentadbir dan mengubal - (lihat lampiran).