KESIMPULAN:
FAJAR YANG MENYINSING

Setelah Kerajaan Angkatan mengambil alih pentadbiran Negeri Kelantan selepas memenangi pilihanraya umum 1990, majalah rasmi Kerajaan Negeri telah bertukar wajah. Semasa BN, majalah rasmi dikenali sebagai Sinar Kelantan, tetapi selepas APU mengambil alih pentadbiran ianya dikenali dengan nama baru, Fajar Islam. Pertukaran nama ini memberi implikasi atau mesej yang mendalam Rakyat Kelantan menolak BN pada pilihanraya umum 1990 kerana pada pandangan mereka "sinar" yang dipancarkan oleh kerajaan BN terlalu "panas". Fajar yang baru menyinsing sudah semestinya bersifat "sejuk" tetapi cahayanya mungkin "kurang terang" bagi mereka yang belum biasa bangun dan berjalan di waktu pagi. Tetapi sekarang Fajar Islam telah berusia lebih empat tahun dan semua masyarakat Kelantan telah menerima cahaya keberkatannya. Sungguhpun awan mendung dari ufuk Pantai Barat (Kuala Lumpur) sentiasa berusaha untuk memudarkan sinaran fajar, namun fajar tetap menyinsing menebarkan cahayanya ke seluruh pelusuk Negeri dan InsyaAllah ke seluruh pelusuk negara dalam usahanya untuk membasmi kemungkaran politik dan ekonomi.