MUKADIMMAH

Bagi Malaysia penubuhan Persekutuan adalah suatu persetujuan diantara tiga pihak iaitu Kerajaan British (wakil Penjajah) Raja-Raja Melayu (ketua mutlak bagi negeri-negeri Melayu yang berdaulat) dan Parti Perikatan (mewakili rakyat yang telah dipilih oleh rakyat ke Federal Council tahun 1955).

Pada konsepnya, Persekutuan adalah gabungan Negeri-Negeri Melayu ke dalam sebuah "Kesatuan", yang prinsip-prinsip dan asas persetujuan di antara ketiga-tiga pihak tadi termaktub di dalam sebuah undang-undang tubuh yang dipanggil Perlembagaan Persekutuan.  "Kesatuan" ini menubuhkan sebuah kerajaan pusat yang kuat, sedangkan Negeri-Negeri pula mengekalkan kerajaan negeri masing-masing yang telah sedia wujud tetapi dengan kuasa-kuasa yang agak terhad.  Perkara-perkara yang menjadi bidangkuasa Persekutuan dan Negeri dinyatakan serta disenaraikan di dalam "Senarai Persekutuan" dan "Senarai Negeri".  Di samping itu ada pula yang dipanggilkan "Senarai Bersama".  Dari segi ini pembahagian kuasa adalah jelas.

Apa yang ketara ialah hak serta keistemewaan Raja-Raja adalah dijadikan Perkara-Perkara (Article) tetap di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak boleh dipinda melainkan dengan   Persetujuan Majlis Raja-Raja (Perkara 38(4)).

Namun begitu pindaan Perlembagaan di dalam bulan Januari 1993, bukan sahaja telah menimbulkan kontrovasi tetapi juga menimbulkan keraguan samada konsep-konsep Persekutuan itu terpelihara atau ternoda. Disamping itu juga, apakah jika ditakrifkan beberapa lagi peruntukan yang releven, maka akan tersingkap pula hasrat-hasrat yang terselindung yang akan mengkhianati hak-hak Negeri yang sepatutnya dilindungi oleh Persekutuan.

Kertas kerja ini cuba sedikit sebanyak menganalisa sejarah Persekutuan itu sendiri, idealismanya serta realiti kedudukan Negeri didalam Persekutan dengan rujukan khusus kepada Negeri Kelantan.