SEJARAH PENUBUHAN PERSEKUTUAN DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU

Penubuhan Persekutuan di Semanjung Tanah Melayu bermula di dalam tahun 1895 apabila empat buah negeri-negeri Melayu, iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan bergabung di dalam sebuah Persekutuan yang dikenali sebagai "Negeri-Negeri Melayu Bersekutu" (Federated Malay States).

Adapun empat buah negeri-negeri Melayu di utara Semenanjung iaitu, Kedah, Perlis, Kelantan dan Trengganu tidak menyertai Persekutuan yang ditubuhkan itu hinggalah selepas peperangan dunia kedua.

1.01 Penubuhan Federal Council

Walau pun penubuhan Persekutan bermula pada tahun 1895, tetapi penubuhan Federal Council (Dewan Persekutuan) hanya bermula pada tahun 1909, yang anggotanya terdiri daripada Persuruhjaya Tinggi British, Resident-General, empat orang Raja-Raja Melayu dan empat orang ahli-ahli lain yang dilantik olih Kerajaan British.

Fungsi Federal Council tidaklah begitu jelas di waktu penubuhannya hinggalah kepada Perjanjian tahun 1927 apabila Raja-Raja Melayu tidak lagi mengambil bahagian aktif di dalam Federal Council. Di dalam tahun berkenaan Federal Council diberi kuasa untuk mengadakan undang-undang bagi negeri-negeri ahli, khususnya mengenai perkara-perkara kepentingan bersama.

1.02 Perkara-Perkara Pengecualian dari Federal Council

Sungguhpun Federal Council diberi kuasa membuat undang-undang, seperti tersebut di atas, namun Perjanjian tahun 1909 dan 1927 membuat pengecualian dari masuk campur Federal Council di dalam perkara-perkara yang berhubungkait dengah Ugama Islam, Masjid-Masjid, Pensyen Politik, Ketua Kaum dan Penghulu (Penggawa) dan juga masalah lainnya, yang jika pada pendapat Persuruhjaya Tinggi British akan menyentuh hak dan prerogative Sultan, maka masaalah sedemikian hendaklah menjadi hak negeri masing-masing.