REALITI PERSEKUTUAN - SUATU MANIPULASI BRITISH

Walau pun pada permukaannya konsep Persekutuan itu terpelihara dan hak-hak Negeri ahli terjamin (lihat Jadual kelapan dan kesembilan di bawah Perkara-Perkara 71(4) 74 dan 77) tetapi semuanya hak-hak ini adalah tertakluk kepada pindaan oleh Parlimen. Dan di mana di antara pindaan itu memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja, maka persetujuan itu tidak pula berasaskan kepada musyawarah (consensus) tetapi kepada keputusan majoriti (Lihat Jadual Kelima (8) di bawah Perkara 38 (i)).

5.01 Hak-Hak Negeri Tercabar

Hak-hak negeri di dalam Perlembagaan mula teruji di dalam kes The Government of Kelantan v.  The Government of the Federation of Malaya and Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1963) MLJ apabila Kerajaan Negeri Kelantan membantah penubuhan Malaysia 1963 di atas asas bahawa dengan adanya Malaysia Act 1963 maka dengan tersendiri termansuhlah Federation of Malaya dan dengan itu tidak mematuhi Malaya Agreement 1957, di mana Kelantan adalah pihak kepada Perjanjian tersebut. Kelantan berpendapat bahawa Malaysia Act 1963 itu tidak mengikati Negeri Kelantan.

Ketua Hakim Mahkamah Tinggi yang memutuskan perbicaraan itu telah memihak kepada Kerajaan Persekutuan berasaskan kepada Perkara 159, Perkara 39 dan Perkara 80(1) di mana kekuasaan Persekutuan di bawah Perkara 159 mengatasi Melaya Agreement 1957 dan kuasa-kuasa pemerintah dibawah perkara 39 dan 80(1) juga mengatasi Perjanjian berkenaan.
 

5.02 Sikap Pemimpin Peringkat Persekutuan

Seterusnya di dalam issue terkini, iaitu: issue takhta Kerajaan Negeri Kelantan, walau pun begitu tepat dan tidak ada sebarang kekaburan bahawa masalah takhta adalah masalah Negeri (Perkara 71(l) Perlembagaan Persekutuan) dan hak ini dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, namun pemimpin Persekutuan masih mengatakan bahawa Mahkamah Khas yang ditubuhkan itu berhak campurtangan walaupun pihak Peguam Negara tidak niemberikan sebarang ulasan di atas perkara ini.

Sikap yang tertanam di kalangan pemimpin peringkat Persekutuan bahawa "might is right and right is Barisan" akan mendorong Persekutuan membuat apa jua pindaan, untuk meluluskan campurtangan Mahkamah Khas di dalam urusan ini.

Inilah di antara realiti dihadapi oleh negeri-negeri dan ketua negeri (Sultan) yang di dalam Persekutuan.

5.03 Perkara-Perkara Yang Menjadi Halangan Kepada Kemajuan Islam Dan Perkara-Perkara Yang Memberat kepada Persekutuan

Banyak di antara Perkara-Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan, memberati sebelah Persekutuan dan ini bertentangan dengan semangat dan objektif  'perkongsian' itu sendiri.  Di antaranya adalah seperti berikut:-

(i) Perkara 75- "jika mana-mana undang-undang Negeri adalah berlawanan dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah dipakai dan undang-undang Negeri itu hendaklah terbatal, setakat mana ianya berlawanan dengan undang-undang Persekutuan itu".

Ada tiga implikasi kepada peruntukan undang-undang ini. Pertama peruntukan ini boleh membatalkan undang-undang yang akan dibuat oleh Negeri-Negeri jika ianya berlawanan dengan undang-undang Persekutuan.  Didalam kes The City Council of Georgetown and Another v. The Government of the State of Penang and Another (1957) 1 MLJ di mana Mahkamah Persekutuan membatalkan undang-undang yang dibuat oleh Dewan Negeri Pulau Pinang pada tahun 1966 kerana berlawan dengan Local Government Elections Act 1960.  Kedua peruntukan ini boleh membatalkan undang-undang Negeri yang telah sedia ada. Ketiga ia boleh meminda (samada menambah atau mengurangkan) peruntukan undang-undang yang tertentu Negeri-Negeri yang boleh mengubah maksud dan tujuan asal undang-undang berkenaan.

Pelaksanaan Hukum-Hukum Hudud bagi Negeri Kelantan akan termasuk di bawah Perkara 75 ini; khasnya apabila dikenakan keatas orang-orang bukan Islam. Apabila dikenakan ke atas orang-orang Islam pula, maka ia akan terhad di bawah Senarai Negeri di dalam Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini had denda yang dibenarkan oleh Undang-undang Persekutuan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (pindaan 1948) ialah setakat tiga tahun penjara, denda tidak melebihi $5,000/- dan setakat 6 kali sebat sahaja.

Perlembagaan Islam Negeri Kelantan juga akan terikat dengan Perkara 75 ini jika peruntukannya berlawanan dengan undang-undang Persekutuan; khususnya apabila ia tidak menetapi atau berlawanan dengan Bahagian Satu Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan (ii) Perkara 76.  Membolehkan Parlimen membuat undang-undang di atas perkara yang di dalam senarai Negeri di atas tujuan tertentu, di antaranya ialah bagi mengadakan persamaan undang-udang di antara dua buah negeri atau lebih.

Walau bagaimanapun jika di atas tujuan mempersamakan undang-undang di antara negeri-negeri, maka ia tidak mempunyai kuatkuasa melainkan setelah diperakukan menerusi undang-undang, oleh Dewan Perundangan Negeri yang berkenaan. Apabila ia diperakukan maka ia telah dikira menjadi undang-undang Negeri yang boleh dipinda atau dimansuhkan oleh undang-undang Negeri pula.

Contoh undang-undang dibuat di bawah Perkara Perkara ini ialah The Land Conservation Act 1960, iaitu undang-undang mengenai pemeliharaan tanah bukit dan pencegahan hakisan tanah.
Tetapi di bawah cerai (4) Perkara 76 Parlimen boleh, bagi maksud hanya menentukan persamaan undang-undang dan dasar tanpa diperakukan oleh Dewan Perundangan Negeri, membuat undang-undang mengenai berbagai perkara mengenai urusan tanah. Kanun Tanah Negara 1965 misalnya adalah dibuat di bawah Peruntukan ini.

(iii) Perkara 71(4).  Perkara ini ialah mengenai "peruntukan-peruntukan perlu" yang patut ada di dalam tiap-tiap Perlembagaan Negeri dan perkara-perkara perlu dimaksudkan itu terkandung di dalam Bahagian Satu Jadual Kelapan (di antaranya kuasa-kuasa Raja, Dewan Perundangan Negeri dan sebagainya). Perkara ini menegaskan bahawa, Parlimen boleh dengan kuasa undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi menguatkuasakan dalam Negeri itu peruntukan-peruntukan perlu itu atau bagi membuangkan peruntukan-peruntukan yang berlawanan itu.

Anehnya, walaupun Bahagian 1 Jadual Kelapan dipanggil Peruntukan Tetap, namun ianya boleh dipinda seperti berlaku didalam pindaan Perlembagaan baru-baru ini. Mungkin kali ini pindaan kepada Jadual Kelapan ini ialah susulan kepada pindaan kepada Perkara 181 dan pertambahan Perkara 182 namun begitu tidak ada peruntukan menyatakan ianya tidak boleh dipinda di bawah Perkara 159.

Ringkasnya Perkara 71(4) dan Bahagian 1 Jadual Kelapan adalah kunci bagi Persekutuan mencorakkan Perlembagaan Negeri-Negeri dan sekaligus yang menjadi penguasa di dalam penentuannya. Dengan kekuasaan Perkara 71(4) dan Bahagian 1 Jadual Lapan ini sahaja sudah cukup (jika Persekutuan mahu) menjadikan Malaysia hampir kepada Negara Republik. Apatah lagi pindaan kepadanya tidak inemerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Jelas bagi Negeri Kelantan, samada Dewan Perundangan Negerinya memperakukan atau tidak akan pindaan-pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini, Negeri Kelantan tetap tertakluk kepada Perkara-Perkara 75 dan 71(4) yang membolihkan Persekutuan mengenakan pindaan-pindaan itu ke atasnya.