Make your own free website on Tripod.com
Sifat dan Peribadi

Proses membentuk suatu negara bermula dengan unit yang paling kecil iaitu individu. Kita semua yang ada pada hari ini ialah terdiri dari individu-individu yang mempunyai pelbagai keistimewaan dan keupayaan termasuk tingkah laku dan perangai.

Kita inilah yang akan membentuk arah dan tujuan sebenar kerajaan dan kerajaan yang terbentuk ini memang terletak pada kita semua padda hari ini. Kita yang akan mencorak laluan, kita yang menentukan destinasi, kita yang akan bertanggungjawab dan "accountable" kepada orang-orang yang memberi kuasa kepada kita.

Tanggungjawab kita ialah menentukan supaya segala tindak-tanduk, tata-bicara selaras dengan tuntutan agama. Kerana perkataan agama ini sendiri bermakna cara hidup. Setiap orang mestilah mematuhi garis panduan dan peraturan sebagaimana yang terkandung di dalam Al Quran dan Hadith. Bagaimana kita hendak memimpin masyarakat supaya menjadi masyarakat yang berbudi tinggi dan mulia, jika yang menyuruh itu sendiri tersimpang jauh dari sifat-sifat tersebut. Bagaimana boleh saya menganjur rakyat untuk mematuhi hukum dan peraturan yang dikehendaki oleh Allah, kalau saya sendiri tidak memahami dan mematuhinya. Kredibiliti kita akan dipersoal oleh rakyat, arahan kita hanya akan tinggal sebagai arahan tanpa diikut dan dihayati jika rakyat tidak yakin dengan keupayaan kita sebagai seorang pemimpin. Selain dari mempunyai ciri kepimpinan yang diperlukan, kita juga harus mempunyai sikap dan perlakuan yang unggul yang boleh dijadikan contoh dan ikutan. Menjadi seorang pentadbir yang cekap belum tentu dapat menjadi pemimpin yang berkesan kalau kita tidak pandai menjaga harga diri dan mengenali sempadan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.