Peruntukan Pembangunan

Tuan-tuan yang ada pada hari ini lebih sedia maklum bahawa negeri ini tidak sekaya seperti negeri-negeri lain di dalam Persekutuan Malaysia. Perkembangan-perkemmbangan terbaru pula membayangkan bahawa proses penyaluran pelbagai peruntukan yang sepatutnya terhak kepada negeri Kelantan agak perlahan kerana diperlahankan atas sebab-sebab yang kita tidak diberitahu secara rasmi.

Tujuan saya sebutkan pada hari ini ialah untuk mengingatkan kepada semua tentang laluan yang sukar di masa-masa akan datang mengenai perkara tersebut. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab setiap orang supaya berhati-hati dalam membuat sesuatu komitmen terutama yang melibatkan peruntukan yang besar yang pada penilaiannya tidak terlalu segera atau mendesak.

Selain dari itu sebaik mungkin cuba elakkan dari merancang dan melaksanakan secara 'ad-hoc' sesuatu projek yang kurang memberi faedah kepada rakyat secara langsung. Peringatan ini saya kira amat penting kerana ia melibatkan soal pengurusan dan juga memerlukan kita supaya lebih berhati-hati kerana dengan sumber yang terhad itu jika tersilap langkah tentunya kerajaan akan dipersoal oleh rakyat yang telah memberi pengharapan yang tinggi kepada kita semua, sebagai Pemegang Amanah Kewangan, sumber hasil dan keharmonian kekayaan Negeri.

Kredibiliti sesuatu perancangan akan dipersoal oleh orang ramai khususnya rakyat di kampung-kampung yang masih menunggu sedikit sebanyak pertolongan dari Kerajaan jika pada penglihatan mereka sesuatu projek itu bercanggah dengan keperluan ramai.

Adalah tidak kelewatan untuk saya menyatakan bahawa kita tidak mampu untuk bersikap mudah dalam perbelanjaan untuk pembelian sesuatu aset yang boleh membantu meningkatkan produktiviti kerja harian kita. Kita hendaklah kendur sedikit tentang hasrat dan minat mengganti aset-aset yang sedia ada melainkan terpaksa.