Usaha Meningkatkan Hasil Negeri

Sebagaimana yang saya nyatakan di atas, laluan yang sukar akan dihadapi dari segi untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Pusat. Menyedari atas hakikat inilah, kita semua harus berusaha dan berfikir bersungguh-sungguh dengan kemampuan dan sumber yang ada untuk melipatgandakan lagi pendapatan hasil-hasil Negeri. Pendekatan-pendekatan yang lebih canggih perlu dicari supaya pendapatan hasil dapat ditingkatkan dari masa ke semasa. Usaha ini perlu diselaraskan disemua peringkat khususnya yang melibatkan hasil-hasil yang berhubungkait dengan tanah. Dilihat dari segi penyumbang utama hasil Negeri, Pejabat-pejabat Tanah dan Jajahan merupakan institusi kedua terpenting selain dari Pejabat Hutan sebagai penyumbang kepada pendapatan hasil Negeri Kelantan. Sumbangan Pejabat Tanah dan Jajahan kepada hasil Negeri bagi tahun ini dianggarkan sebanyak RM18.2 juta. Angka ini tentullah boleh ditingkatkan ke satu tahap yang lebih baik jika usaha dan perancangan yang rapi digembelingkan termasuk merancang kaedah untuk mendapatkan bayaran tunggakan-tunggakan yang terkumpul selama ini.

Selaras dengan usaha untuk merealisasikan hasrat di atas, satu pendekatan patut dipertimbangkan dengan mengkaji kedudukan pegawai dan kakitangan di bahagian-bahagian lain supaya usaha di atas selaras dengan matlamat tersebut.