Mengurus Masalah Kemiskinan Rakyat Sebagai Agenda Kerajaan

Kemiskinan yang melampau jika berlaku akan mudah dihinggapi oleh pelbagai penyakit sosial dan penyakit akiddah.
(Hadis: Kepapaan akan membawa kekufuran)

Atas kesedaran inilah kerajaan Negeri menjadikan usaha mengurangkan masalah kemiskinan sebagai salah satu agenda utama dan penting dan seiring untuk memajukan negeri ini dari segi sosio-ekonominya. Sedaya upaya yang mungkin, kerajaan akan berusaha untuk membantu golongan ini melalui pelbagai cara tertentu hingga kepada pemberian milik tanah secara berancang. Di samping itu, pendekatan lain patut juga difikirkan supaya orang-orang yang berada ddi kampung-kampung boleh memainkan peranan dalam proses membantu golongan tersebut. Salah satu cara dengan membimbing golongan yang berada ke dalam arus perancangan membaikpulih golongan dhaif dan miskin. Mereka yang kaya perlu diberi faham bahawa tugas membantu golongan miskin seharusnya menjadi tanggungjawab bersama masyarakat sekelilingnya. Kerajaan ada tanggungjawab dan masyarakat ada tanggungjawab dalam soal menangani masalah ini. Islam ada menyatakan tiada sempurna iman seseorang selagi ada jiran-jirannya yang tidak terbela.

Masjid dan Jawatankuasa pembangunan Ummah Mukim (JPUM) adalah dua institusi penting diperingkat akar umbi yang perlu diasuh dan digerakkan ke arah menjayakan proses di atas. Masjid sebagai Pusat Kegiatan Masyarakat perlu digerakkan secara teratur supaya selaras dengan fungsinya sebagai tempat orang Islam mencari keredhaan Allah dan tempat merancang segala kegiatan untuk kepentingan khairatnya termasuklah golongan yang tidak bernasib baik itu.

Begitu juga dengan institusi JPUM yang diadakan bukan sahaja untuk bertindak sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan tetapihendaklah dijadikan sebagai penghubung di antara orang-orang kaya dengan orang-orang miskin. Apabila komunikasi ini dapat diatur dan diperkemaskan, banyak isu-isu yang melibatkan kepentingan masyarakat dapat diatasi. Masalaah-masalah pelajar yang tidak dapat ke sekolah kerana kemiskinan keluarga, masalah tidak mampu untuk bayar yuran pendaftaran memasiki Pusat Pengajian Tinggi, soal berhenti sekolah separuh jalan dan sebagainya sudah pasti akan dapat dielakkan apabila ada satu jalinan kerjasama yang rapat dan komunikasi yang mantap antara golongan yang mampu memberi dengan golongan yang mengharapkan bantuan. Inilah peranan yang diharap dapat dimainkan oleh semua institusi-institusi yang ada di peringkat bawah. Tuan-tuan sebagai pemimpin utama sudah tentu ingin melihat supaya rangkaian ini bergerak dengan berjaya.