Pelindung Dasar-Dasar Kerajaan

Tuan-tuan yang saya hormati, setelah hampir 3 tahun Kerajaan APU mengambilalih pemerintahan kerajaan Negeri Kelantan, begitu banyak kenyataan-kenyataan Dasar yang telah dibuat oleh kerajaan. Dasar-dasar tersebut mungkin berbeza dengan dasar-dasar yang telah digubal sebelum ini.

Dengan kenyataan-kenyataan Dasar yang dinyatakan dari masa ke semasa itu, tentu terdapat sebilangan penduduk-penduduk Kelantan sendiri amnya dan penduduk-penduduk luar Kelantan khususnya merasa gerun dan bimbang. Bagi mereka ini, sesuatu yang baru yang bellum pernah mereka hadapi. Golongan-golongan ini amat curiga dan bimbang tanpa mengkajinya secara mendalam lantas terus menolak dan menentang. Tuan-tuan harus ingat walaupun ramai yang menentang, tetapi lebih ramai yang menyokong. Bagi saya tidak bimbang dengan yang menetang, tetapi saya lebih bimbang kepada yang menyokong. Bagi yang menentang, Insyaallah suatu masa nanti, apabila mereka mula faham dengan sendiri akan duduk diam walaupun tidak menyokong. Di atas kehendak yang menyokong inilah saya meminta kerjasama semua pihak supaya menentukan dasar-dasar tersebut diterjemahkan kepada amalan untuk diikuti dan dihayati sepenuhnya, walaupun terpaksa memberi penjelasan dan penerangan berulang-ulang kali.

Selain dari menentukan dasar-dasar tersebut difahami dan diikuti, ke atas bahu kita semua pula terletaknya beban tanggungjawab untuk mempastikan dasar-dasar tersebut dikawal dan dilindungi dari anasir-anasir yang setiap masa berusaha untuk menggagalkannya.