Pentadbiran ke arah memperbetulkan krisis kefahamanApa yang menjadi masalah kepada rakyat umum sekarang ialah ajaran yang disampaikan di masjid tidak serupa dengan yang diputuskan di Parlimen dan di Dewan Undangan Negeri. Kita yakin kalau ada keselarasan antara khatib di masjid dengan guru agama di sekolah dan di pondok dan mufti di Majlis Agama Islam dengan apa yang dibuat oleh kerajaan maka krisis kefahaman atau kekeliruan di kalangan orang Islam dapat diperbetulkan.
Inilah antara sebab besar PAS berjuang untuk menegakkan Islam kerana tidak ada sebuah parti kecuali PAS - sekarang bersama-sama komponen Angkatan Perpaduan Ummah - yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan. Tujuan utamanya untuk memperbetulkan anggapan bahawa agama tidak ada kaitan langsung dengan pentadbiran negeri sepertimana dahulu dipropagandakan oleh Inggeris dan sekarang diikuti oleh mereka dari golongan sekular. Dengan perjuangan yang berdasarkan Islam itu juga, PAS akan melaksanakan syariat-syariat Allah termasuk hudud.
Kita percaya tidak ada orang Islam yang tidak mahu negeri ini diperintah dan ditadbir mengikut dasar Islam seperti mana yang dikehendaki Allah. Contohnya, dalam pilihan raya umum 1990 rakyat Kelantan telah menunjukkan persetujuan dcngan memilih PAS bersama-sama rakan-rakannya dalam Angkatan yang berjuang atas dasar Islam. Apabila rakyat memilih kerajaan atas dasar Islam sebagal ad-din, pihak kerajaan pula kini menjalankan kewajipan memilih apa benda yang boleh memberi faedah kepada mereka dan membuangkan benda yang tidak dapat memberi manfaat. Mengenai masalah riba, misalnya, kita telah mengeluarkan lesen untuk buka pajak gadai Islam Ar-Rahn dan sambutan yang begitu menggalakkan - yang diberi oleh rakyat daripada berbagai-bagai tempat sekali lagi menampakkan rakyat suka kepada pemerintahan ke arah menghapuskan riba.
Dengan sebab itu, mana-mana perkara yang termasuk dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri, kita sedaya upaya berusaha melaksanakannya supaya harapan rakyat untuk melihat negeri ini ditadbir mengikut dasar Islam berhasil. Walau bagaimanapun, bagi benda-benda yang di luar batas kekuasaan negeri, kita tidak boleh buat apa-apa, misalnya, bank. Sekalipun kita tidak setuju dengan sistem riba yang dijalankan bank tetapi kita tidak dapat menukar sistem itu kepada cara Islam seperti yang kita mahu kerana ia terletak di bawah kekuasaan Kerajaan Pusat. Ini bermakna selagi kita tidak memegang kuasa di peringkat Pusat selama itu bidang kuasa kita terbatas. Namun begitu, setakat yang kita ada kuasa di peringkat negeri ini, alhamdulillah, kita jalankan supaya amanah yang diserahkan oleh rakyat kepada kita melalui pilihan raya itu tidak akan sia-sia.