Kaedah berbelanja dalam pentadbiranBerhubung dengan perbelanjaan Negeri Kelantan, Kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah Kelantan telah menetapkan satu peraturan bahawa kita 'berbelanja jangan sampai ke peringkat boros dan berjimat jangan sampai kedekut'. Ertinya, kita harus menyesuaikan perbelanjaan dengan pendapatan negeri yang diperolehi melalui pemungutan pelbagai hasil mahsul dan juga daripada grant persekutuan.
Dalam mengendalikan wang rakyat supaya tidak berlaku pembaziran, Kerajaan Negeri meminta kepada ketua-ketua jajahan dan wakil-wakil rakyat supaya projek-projek kecil dalam kawasan masing-masing, sama ada pembinaan jambatan atau lain-lain, lebih baik tidak lagi dilakukan secara tender memberi kontrak kepada mana-mana pihak. Apa yang perlu dibuat ialah Kerajaan mengeluarkan wang peruntukan membeli barang-barang yang diperlukan bagi projek itu manakala kerja-kerja pembinaannya dijalankan secara upah dan juga gotong-royong. Tujuannya, selain daripada dapat menjimatkan perbelanjaan, cara itu juga dapat menimbulkan rasa tanggungjawab dan perasaan 'keempunyaan' atau sense of belonging kepada penduduk kawasan berkenaan terhadap projek yang dilaksanakan itu kerana mereka juga terlibat sama menyumbangkan tenaga dalam kerja gotong-royong itu.
Begitu juga dengan lain-lain perbelanjaan seperti yang melibatkan permohonan kerana hendak membeli sejadah kecil untuk digunakan di dalam masjid yang sudah pun penuh dengan karpet dari dinding ke dinding. Permohonan seumpama ini tidak akan diberi kerana apa yang diberi perhatian berat oleh Kerajaan ialah memberi bantuan wang kepada mana-mana pihak yang benar-benar perlu untuk membeli barang-barang yang mustahak sama ada karpet atau tikar bagi masjld, madrasah atau surau yang belum lagi ada barang-barang itu. Kalau sekadar untuk tujuan perhiasan dan mencantikkannya sahaja, sedangkan barang-barang keperluan itu sudah ada, maka permohonan itu diketepikan.
Kita amat berhati-hati dari segi perbelanjaan kerana Kerajaan kita ini tidak lebih dari ada 'pemegang amanah' untuk mengurus wang rakyat yang dipanggil wang kerajaan dari berbagai-bagai sumber yang yang telah disatukan hendaklah dibelanjakan mengikut cara yang betul.
Demikian juga dengan urusan tender balak dan sebagainya yang sekarang semuanya dilakukan secara 'tender terbuka' dan menghapuskan 'tender runding' seperti yang diamalkan oleh kerajaan sebelum ini. Mengenai wang cengkeram yang diberi oleh seseorang penendar yang berjaya mendapat sesuatu kawasan balak, saya telah mengarahkan pegawai yang berkaitan supaya memberi balik wang cengkeram itu (setelah dikenakan 'denda' ke atas gangguan pentadbiran yang dilakukan) sekiranya mereka gagal meneruskan kerja dan tidak dapat menjelaskan bakinya dalam tempoh tertentu. Pada masa sebelum Angkatan memerintah negeri ini, mana-mana penender yang gagal menjelaskan wang baki itu, deposit mereka dirampas dengan tidak diberi balik sedikitpun.
Kerajaan sekarang membuat keputusan tidak merampas wang cengkeram daripada penender balak itu kerana kita sedar benda termasuk balak adalah milik Allah SWT. dan kita, pihak Kerajaan, kerana ada kuasa, diberi tugas untuk menguruskannya dengan baik. Jadi, wang pendahuluan yang diberi oleh penender itu, sama ada dipanggil deposit atau cengkeram, tetaplah wang penender berkenaan dan tidak patut kita merampasnya setelah dia menghadapi masalah dan tidak 'dapat meneruskan kerjanya. Cuma, apa yang kita boleh lakukan ialah mengenakan denda pada kadar yang sepatutnya justeru disebabkan perbuatannya itu telah menggendalakan urusan kita untuk menyerahkan kerja pembalakan kepada orang lain.