Amalan Hidup Yang SederhanaTuhan sengaja mewujudkan golongan manusia yang diberi kemewahan hidup dan tidak kurang pula yang sebaliknya. Semua ini tuhan telah tetapkan atas kepentingan manusia itu sendiri. Di sinilah golongan yang bernasib baik itu dikehendaki membuat perhitungan yang seadil-adilnya mengikut neraca Islam.
Dari sudut fahaman dan sikap, Islam menetapkan bahawa keadilan tidak akan tercapai selagi mana manusia menafikan harta miliknya adalah sebenarnya milik Allah yang diamanahkan kepadanya. Ianya harus digunakan dengan cara yang diredhai olehNya. Orang-orang miskin dan lemah mempunyai hak ke atasnya dan memenuhi hak ini adalah lebih utama daripada penggunaan secara bebas kekayaan itu untuk perkara-perkara yang mewah bagi dirinya sendiri.
Dari awal saya memasuki arena politik tanah air, tidak terlintas di hati saya ingin memegang jawatan sekarang ini. Apa yang lebih penting dalam karier politik saya ialah menentukan supaya suatu masa nanti akan terdiri sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem pentadbiran berasaskan Undang-undang yang dituntut oleh Allah S.W.T.
Setelah saya diminta memimpin Kerajaan Kelantan, saya rasa sedikit gugup kerana terlalu banyak ganjaran dan kuasa yang diberi pada saya. Tetapi memandangkan ganjaran yang llumayan itu bukan keutamaan saya, sebahagian darinya saya ketepikan. Secara umumnya, kemewahan hidup yang lebih dari sepatutnya tidak akan membawa kita ke mana-mana, malah lebih melalaikan.
Islam menuntut supaya manusia mengamalkan cara hidup yang sederhana, kerana dengan cara yang sederhana saja, manusia akan terhindar dari unsur yang dilarang oleh syariat Islam.